8 Penyebab Gusi Bengkak Berdarah (Hentikan Cepat, Jangan Sampai Bernanah)

Sudah tentu kita akan rasa tak selesa kalau gigi bengkak. Nak makan pun susah. Nak gosok gigi pula, kena berhati-hati, bimbang berus gigi terkena bahagian yang sakit itu. Maka, akan jadi lebih sakit. Lagi teruk, keluar darah dari gusi. Kali ini, kami akan kongsikan apakah penyebab gusi bengkak dan berdarah sehingga membuatkan kita rasa tidak selesa yang teramat sangat hingga bernanah.

Menurut JKN Perlis, antara tanda-tanda penyakit gusi adalah mulut yang berbau, gusi mudah berdarah, kelihatan merah, bengkak dan akan timbul rasa sakit.  Gigi yang longgar dan gusi yang menurun sehingga gigi nampak panjang juga salah satu daripada penyakit gusi.

Izinkan kami berkongsi.

Penyebab gusi bengkak

Tanda-tanda penyakit gusi sudah dikongsikan di atas. Bagaimana pula dengan faktor-faktor yang menyebabkan ia menjadi bengkak?

Berikut adalah beberapa penyebab gusi bengkak dan berdarah dari pandangan perubatan moden:

1. Gingivitis / radang gusi

Gingivitis merupakan faktor utama gusi bengkak dan berdarah. Gingivitis dalam bahasa lain ialah keradangan gusi. Ini dapat dikesan apabila gusi mudah menjadi merah, bengkak dan berdarah. Tanda-tanda berlakunya Gingivitis ialah apabila jaringan gusi terlihat bengkak dan menjadi merah yang ketara iaitu merah yang lebih tua daripada bahagian gusi yang lain.

Kebiasaannya, ketika memberus gigi, bahagian gusi berkenaan mudah berdarah. Bukan itu sahaja, gusi akan berdenyut dan sakit yang kuat. Mulut pula akan berasa tidak selesa dan akan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan. Yang lebih ekstrem, pembentukan nanah akan berlaku di bahagian antara gusi dan gigi.

Gingivitis harus dirawat secepat mungkin atau boleh menyebabkan berlakunya Periodontitis. Periodontitis boleh mengakibatkan gusi tertarik menjauhi bahagian leher gigi dan menyediakan ruangan pembentukan poket yang boleh dijangkiti. Penghasilan toksin oleh bakteria seterusnya akan memusnahkan tulang dan tisu penghubung yang penting sebagai tapak pemegang gigi.

 

2. Perubahan hormon wanita mengandung / hamil

Secara amnya, wanita-wanita hamil amatlah terdedah dengan perubahan hormon yang tidak menentu. Hormon adalah punca segala-galanya. Ini adalah sebab utama kenapa gusi bengkak semasa mengandung.

Hormon-hormon yang terhasil pula boleh menyebabkan pengaliran darah ke gusi meningkat, di mana peningkatan yang ketara ini secara amnya akan mengakibatkan gusi berasa tidak selesa dan seterusnya membengkak.

 

3. Kurang vitamin C dan vitamin K

Pengambilan Vitamin C dan K yang rendah merupakan pengaruh yang agak penting kepada sistem imunisasi dan daya tahan kita secara keseluruhannya.

Namun, bagaimana kita mahu mengesan sama ada tubuh kita mempunyai Vitamin C dan K yang cukup?

Cara yang paling ringkas sekali ialah dengan melihat sama ada adakah terjadi pendarahan pada gigi dan gusi apabila anda memberus gigi.

Jika ada, itu boleh diambil kira sebagai antara faktor-faktor jelas bagi individu yang mengalami masalah kekurangan Vitamin C dan K.

Disamping itu, kekurangan pengambilan sayur-sayuran hijau adalah antara salah-satu faktor utama seseorang kekurangan kandungan Vitamin C dan K.

 

4. Kurang asid folik

Asik folik sangat popular di kalangan ibu hamil atau mengandung. Biasanya, jika ibu mengandung yang malas makan asid folik, darahnya rendah. Ini akan memaksa si ibu tadi untuk minum air gula.

Sama juga seperti Vitamin C dan K, kandungan asid folik yang rendah boleh menyebabkan seseorang terdedah dengan risiko gusi bengkak dan berdarah.

Menurut pakar, ini disebabkan ketidaknormalan pada fungsi sel yang menjurus kepada keradangan gusi ataupun Gingivitis.

Jangan ditanya kenapa gusi bengkak hanya kepada golongan ibu yang mengandung sahaja. Ini adalah ujian dari Allah.

 

5. Malas berus gigi

Orang yang malas memberus gigi juga terdedah mendapat bengkak gusi.

Jarang memberus gigi juga boleh menyumbangkan kepada faktor gusi bengkak dan berdarah. Justeru, mempunyai rutin memberus gigi amatlah digalakkan kerana seseorang itu mampu menjamin kesihatan dan kebersihan mulutnya dengan membersihkan gigi secara teratur dan konsisten.

Ini kerana, sisa- sisa makanan yang terlekat pada celahan gigi akan mendorong kepada pembentukan plak oleh bakteria dan seterusnya membuat gusi terdedah dengan pelbagai jenis jangkitan.

Walau bagaimanapun, harus diingat, memberus gigi secara kasar juga boleh mengakibatkan gusi terluka dan berdarah.

Jadi, diharap anda semua memberus gigi secara bersederhana, jangan sekuat hati. Jangan sebab malas gosok gigi, jadi sebab gusi bengkak pula!

 

6. Braces / pendakap gigi

Pendakap gigi (braces)  yang tidak dipasang dengan teliti dan tepat akan memudahkan lagi sisa-sisa makanan melekat pada celahan gigi dan menjadi sarang untuk bakteria membiak dan membentuk plak gigi.

Jika dibiarkan untuk tempoh yang lama, ini mengakibatkan plak mengeras dan menghasilkan karang gigi yang mendedahkan gusi kepada jangkitan kuman.

 

7. Gigi palsu

Gigi palsu perlu dipakai dengan kemas. Jika tidak, ia akan membuatkan sisa makanan terselit pada gigi dan gusi. Bukan itu sahaja, dari segi pemakaian, ia perlu dipakai dengan betul. Tanggalkan jika anda tidak menggunakan gigi palsu semasa di rumah.

 

8. Ubat-ubatan

Sesetengah ubat seperti ubat untuk penyakit darah tinggi mengandungi bahan yang boleh mengakibatkan keradangan dan pendarahan pada gusi.

Selain daripada ubat darah tinggi, ubat penenang juga menyebabkan mulut menjadi kekeringan dan ini juga mendorong kepada pelbagai masalah kepada kebersihan dan kesihatan gusi dan gigi itu secara keseluruhannya. Antara contoh ubat-ubatan ini termasuklah Warfarin, Aspirin dan Heparin.

 

Akhir kalam

Diharapkan agar perkongsian berkenaan penyebab gusi bengkak hingga berdarah ini dapat memberikan informasi berguna kepada anda. Sila rujuk cara hilangkan sakit bengkak gusi menggunakan petua tradisional.

Jika masih lagi tidak kebah, sila kunjungi doktor di klinik berhampiran.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment