Laporan Kredit CTOS Percuma di MyCTOS (ctoscredit.com.my)

Laporan Kredit CTOS Percuma di MyCTOS (ctoscredit.com.my)

CTOS Data Systems Sdn Bhd, agensi pelapor kredit terulung Malaysia, hari ini mengumumkan tawaran laporan MyCTOS percuma dengan CCRIS bagi pengguna selaras dengan kempen pemerkasaan kewangan ke seluruh negara.

Masalah kewangan

Menurut kajian CTOS, sejak tempoh 12 bulan lepas terdapat peningkatan sebanyak 52% pengguna mengakses laporan kredit CTOS mereka, dan menurut suatu kaji selidik baru-baru ini pula sebanyak 57% pengguna menyemak kedudukan kredit mereka lantaran masalah kewangan disebabkan pandemik.

“Covid-19 dan ketidakpastian yang dicetuskannya telah mendedahkan betapa perlu dan mendesaknya bagi masyarakat Malaysia untuk mengawal kesihatan kewangan mereka. Akan tetapi, berdasarkan data CTOS, pada masa ini hanya kira-kira 1.3 juta daripada kira-kira 15 juta penduduk yang bekerja di Malaysia melakukan semakan kendiri untuk mengakses dan menguruskan maklumat kredit peribadi masing-masing. Untuk menggalakkan lebih ramai mengambil langkah pertama menguruskan kesihatan kewangan mereka, pihak CTOS melancarkan laporan MYCTOS percuma bersama CCRIS bagi kempen pengguna, selaras dengan usaha pemerkasaan kewangan ke seluruh negara,” kata Eric Chin, Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data Systems Sdn Bhd.

 


Laporan kredit terperinci CTOS

Laporan kredit peribadi CTOS memuatkan maklumat terperinci mengenai hutang-piutang, sejarah akaun bagi kad kredit dan pinjaman seseorang serta sejarah pembayaran, termasuk apa-apa pembayaran lewat, had kredit atau amaun pinjaman, baki akaun dan pertanyaan kredit.

Kes guaman dan kes kemuflisan turut dilampirkan dalam bahagian berasingan, serta juga senarai pemegang jawatan pengarah dan kepentingan perniagaan.

Bank-bank dan syarikat-syarikat pemberi pinjaman yang lain menggunakan maklumat ini untuk proses penilaian kredit sebelum meluluskan permohonan kredit seperti kad kredit dan pinjaman.

 

Kenapa laporan kredit itu penting?

Peri pentingnya mempunyai laporan kredit yang baik bukan sahaja terhad kepada produk kewangan sahaja. Bakal pemilik hartanah juga ingin menyemak laporan kredit pemohon sebelum membuat keputusan untuk menyewakan hartanah mereka atau tidak. Bahkan ada majikan yang menyemak laporan kredit untuk proses permohonan kerja.


“CTOS berhasrat memperkasa seberapa ramai mungkin individu dengan alat-alat serta ilmu pengetahuan supaya dapat membuat keputusan kewangan yang baik, lebih-lebih lagi dalam keadaan dan masa yang amat mencabar ini. Betapa pentingnya kita mempunyai kejelasan dan pemahaman tentang kedudukan kewangan supaya dapat mencapai matlamat kewangan yang diingini. Menyemak laporan kredit MyCTOS adalah langkah pertama ke arah pencapaian matlamat itu,” ujar Chin.

Laporan MyCTOS percuma bersama kempen CCRIS ini tersedia menerusi www.ctoscredit.com.my selaras dengan inisiatif CTOSCARES sehingga 31 Julai 2021.

 

Tentang CTOS Data Systems Sdn Bhd

CTOS Data Systems Sdn Bhd ialah agensi pelaporan kredit terkemuka di Malaysia, yang menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan inovatif yang dibangunkan di Malaysia sepanjang 30 tahun sejarahnya. Syarikat menyediakan maklumat kredit dan penyelesaian analitis untuk perniagaan dan pengguna terutamanya di Malaysia pada setiap peringkat kitaran gaya hidup pelanggan.


CTOS menyediakan penyelesaian digital kepada lebih 100 bank dan badan korporat terkemuka Malaysia dan hampir 17,000 perusahaan kecil dan sederhana (“PKS”) meliputi hampir semua industri, termasuk perkhidmatan kewangan, telekomunikasi, peruncitan, automotif, utiliti, pembrokeran, pengangkutan, pembuatan, penjagaan kesihatan dan insurans.

1 thought on “Laporan Kredit CTOS Percuma di MyCTOS (ctoscredit.com.my)”

  1. Assalamulaikum….nak mohon citra hari ni blh tak Gini …tuan rumah halau saya Sebb dah 5hulsn tak byar….tolong saya boleh…

    Reply

Leave a Comment