Khatam Al Quran Perdana 2021 (Siaran Langsung TV Al Hijrah)

Khatam Al Quran Perdana 2021 (Siaran Langsung TV Al Hijrah)

Ramadan tahun ini sudah hampir tiba ke penghujungnya. Umat Islam seluruh pelusuk dunia kini berlumba-lumba melakukan pecutan akhir dalam melipatgandakan amalan pada sepuluh malam terakhir bulan yang mulia ini.

Tidak mahu ketinggalan, TV AlHijrah mengajak penonton setianya untuk memanfaatkan fasa terakhir Ramadan ini dengan sama-sama mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran menerusi sebuah program khas iaitu Khatam Al-Quran Perdana.

 

Sama-sama bertadarus

Khatam Al-Quran Perdana adalah sebuah rancangan yang akan disiarkan secara langsung pada Ahad, 27 Ramadan 1442H bersamaan 9 Mei 2021. Rancangan ini akan membawa penonton untuk sama-sama bertadarus melengkapkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang telah mula dilakukan bermula awal Ramadan yang lalu.

Rancangan ini diterbitkan sebagai kemuncak kepada kesemua rancangan-rancangan istimewa Ramadan yang disiarkan di TV AlHijrah dengan mengangkat tema Andai ini Ramadan Terakhir.


Apa yang menarik, rancangan ini dijangka bakal melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya ia akan disiarkan terus menerus selama dua belas jam siaran bermula jam 7 pagi hingga 7 malam.

Paling istimewa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan hadir ke Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah untuk menyertai kemuncak Khatam Al-Quran Perdana yang dijadualkan bermula selepas waktu Asar. Selain sama-sama mengalunkan kalam Ilahi, beliau juga akan menyampaikan tazkirah serta membaca doa kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia.

 

Gabungan qari dan selebriti

Program Khatam Al-Quran Perdana akan membariskan gabungan Qari tempatan dan selebriti tanah air dalam mengalunkan bacaan suci Al-Quran seperti Sheikh Mahmoud Al-Wosabi, Ustaz Fazrul Ismail, Ustaz Tirmizi Ali, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Nabil Ahmad dan Dr. Ahmad Sanuzi Azmi.

Selain itu, Zizi Kirana, Amie Sofia, Diana Amir, Farah Diana Anuar, PU Rozi Harun, Chef Nabil Salleh turut sama mengambil bahagian.


TV AlHijrah menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk menonton siaran langsung rancangan Khatam Al-Quran Perdana ini. Bagi penonton yang berminat untuk menyumbangkan bacaan, mereka boleh turut serta dalam rancangan ini secara maya menerusi aplikasi Zoom. Maklumat lanjut tentang penyertaan boleh didapati di laman sesawang TV AlHijrah www.tvalhijrah.com.

Jadi, jangan ketinggalan untuk menonton rancangan ini. Ayuh kita sama-sama hidupkan malam-malam akhir Ramadan dengan bacaan Al-Quran, zikrullah, qiamullail dan doa munajat.

Leave a Comment