Kenapa Kucing Muntah? (Wahai Pemilik, Ini Penyebab Kucing Muntah)

Bagi anda yang membela kucing, pasti risau sebab nampak kucing anda seperti muntah dengan mengeluarkan sesuatu dari mulutnya. Mulalah terfikir bukan-bukan. “Kenapa kucing aku muntah mo? Dia tak sihat ke?”

Kenapa kucing muntah?

Kucing akan muntah meskipun berada dalam keadaan sihat. Akan tetapi, muntah tanpa henti boleh menandakan terdapat sesuatu masalah kesihatan yang dihadapi kucing anda.

Jika haiwan peliharaan anda ini muntah sejurus selepas makan, maka ia mungkin disebabkan oleh makan terlalu cepat atau terlalu banyak.

Selain itu, ia juga boleh berpunca daripada perubahan diet mereka secara tiba-tiba yang menandakan terdapat alergi pada makanan tersebut, ataupun mereka tertelan bahan asing seperti benang atau getah dan ini merupakan tindak balas badan kucing itu sendiri untuk mencegah sistem pencernaan daripada tersumbat.

Bulu mereka juga boleh menjadi faktor mereka muntah, yakni apabila mereka membersihkan diri, kadangkala bulu yang panjang akan tersumbat di dalam perut mereka. Ianya perkara biasa sekiranya kucing anda memuntahkan bulu sendiri secara mingguan untuk mengelakkan usus daripada tersumbat.

Seterusnya, kucing akan muntah sekiranya terdapat penyakit dalaman seperti radang yang kemudiannya diiringi dengan cirit-birit. Bahkan, haiwan ini akan muntah sekiranya menghidap penyakit seperti kanser dan buah pinggang yang menyebabkan rasa mual pada kucing itu sendiri. Perhatikan sama ada kucing anda kerap minum air untuk tentukan sama ada ia menghidap penyakit diabetes.

Antara faktor utama kenapa kucing kerap muntah adalah dengan kehadiran parasit yang hidup dalam usus seperti cacing pita, dan ia kebiasaannya merebak dengan memakan sesuatu yang mengandungi parasit itu sendiri, atau telurnya.

Kemudian, penggunaan ubat haiwan yang tidak sesuai boleh menyebabkan kucing anda muntah.  Tindak balas sistem imun badan akan menolak kehadiran ubat tersebut seolah-olah ia adalah bahan toksik yang mengancam tubuh kucing. Bahkan, tumbuhan yang mengandungi bahan toksik sekiranya ditelan kucing anda, akan menyebabkan muntah.

Jenis muntah kucing

Menurut Kelab Pencinta Kucing Malaysia di Facebook, ada beberapa jenis muntah kucing. Antaranya ialah:

  1. Muntah bulu atau hairball
  2. Muntah makanan
  3. Muntah cacing (ini perlu diambil perhatian)
  4. Muntah hijau dan berbau busuk (ini perlu diambil perhatian)

Rujuk pautan di atas untuk mengetahui cara mengatasi, mengurangkan dan mencegah kucing dari muntah.

Bukan setakat itu, ada juga kucing yang muntah kucing, muntah buih putih, muntah air dan juga muntah darah. Ada masa-masanya, kucing muntah selepas makan. Ada juga juga yang selepas sahaja muntah, tidak mahu makan. Malahan, mengalami cirit-birit pula.

 

Akhir kalam

Kesimpulannya, anda perlu rujuk doktor haiwan untuk mengenal pasti punca kucing anda kerap muntah. Anda boleh pantau kucing anda selama beberapa hari sekiranya ia berlarutan untuk menentukan samada ia satu situasi yang memerlukan perhatian segera, atau sekadar tabiat kucing itu semata-mata. Tambahan pula, warna dan jenis muntah kucing juga memainkan peranan dalam menentukan masalah yang dihadapi kucing tersebut.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment