Gema Haflah Fatima Al Khatab (Bacaan dari Qariah, TV Al Hijrah)

Gema Haflah Fatima Al Khatab (Bacaan dari Qariah di TV Al Hijrah)

Penonton Malaysia terutamanya penonton setia TV AlHijrah yang ingin mendengar lantunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran terbaik daripada barisan qariah Malaysia mesti menonton rancangan Gema Haflah Fatima Al Khatab pada hujung minggu ini.

Rancangan Gema Haflah Fatima Al Khatab akan disiarkan pada 20 Februari 2021, Sabtu, jam 9 malam.

Enam qariah terbaik

Gema Haflah Fatima Al Khatab ini bakal menghimpunkan enam qariah terbaik tempatan yang pernah menjuarai Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa dan Majlis Tilawah Al Quran Kebangsaan.

Enam qariah tersebut adalah qariah Sharifah Khasif Fadzilah (Johan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2009), qariah Sofizah Mousin (Johan Qariah Majlis Tilawah Negeri Sabah 2013 dan 2015), qariah Nor Ruzana Natiah Jaafar (Naib Johan Qariah Majlis Tilawah Al Quran Kebangsaan JAKIM 2017 & 2018), qariah Normalina Alias (Johan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2017), qariah Awatif Abd Majid (pemenang tempat ketiga Majlis Tilawah Al Quran Kebangsaan 2019),  dan qariah Nur Farhatul Fairuzah Panut (Johan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2019).


 

Surah yang diperdengarkan

Antara surah-surah yang akan diperdengarkan adalah Surah Al Imran, Surah At-Tahrim, Surah An-Nisa, Surah Ar-Rum, Surah An-Nahl, Surah Al-Ahqaf, Surah An-Naml dan Surah Maryam.

Tema Fatima Al Khatab dipilih istimewa bagi membawa penonton menelusuri kembali kisah keislaman Saidina Umar Al-Khatab setelah mendengar bait-bait Al-Quran lantunan adiknya Fatima Al Khatab di suatu malam yang hening.

Asbab keyakinan Fatimah Al Khatab terhadap kalam Al-Quran akhirnya membuka jiwa Umar untuk menerima cahaya llahi. Kekuatan Fatimah Al Khatab adalah cerminan mukminah sejati yang harus diteladani dalam mempertahankan keyakinan dan keimanan kepada Allah AWT.

 


Menyuburkan jiwa penonton

Perkongsian kisah ini menerusi bacaan ayat suci Al-Quran oleh keenam-enam qariah tersohor ini menjelaskan objektif penerbitan rancangan Gema Haflah iaitu untuk menyuburkan jiwa penonton menerusi bait-bait ayat dan maknawi yang termaktub di dalam Al-Quran Al Karim.

TV AlHijrah amat berkeyakinan bahawa rancangan ini mampu memimpin penonton untuk menjadi manusia yang sempurna lahir dan batin dengan berpandukan kalam Ilahi.

Jadi, mari kita sama-sama memanfaatkan masa terluang bersama keluarga di rumah dengan menyaksikan Gema Haflah Fatima Al Khatab, Sabtu ini, 9 hingga 11 malam hanya di TV AlHijrah.

Leave a Comment