Garis Panduan Pembukaan Sekolah Pasca PKPP (COVID-19)


Garis panduan pembukaan sekolah pasca PKPP ini adalah ringkasan dari dokumen rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia.

Jika anda rajin untuk baca panjang-panjang, boleh muat turun di sini.

Jika tidak terlalu rajin, boleh sahaja ikuti rangkuman dalam perkongsian kami seperti di bawah.

Garis Panduan Pembukaan Sekolah Pasca PKP

Siapa perlu baca garis panduan ini?

Garis panduan pembukaan semula sekolah ini disediakan sebagai rujukan kepada:

  • Pegawai bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
  • Pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)
  • Pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)
  • Pentadbir serta guru di sekolah

Ini penting sebagai rujukan kepada pengurusan sekolah dengan mengambil kira langkah-langkah bagi mengawal penularan jangkitan penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19).

Walau bagaimanapun, kami merasakan bahawa ibu-bapa yang prihatin juga boleh menggunakan garis panduan ini.

Jadi, boleh terus memantau keadaan anak-anak tanpa merujuk kepada pihak sekolah.

 

Siapa perlu guna garis panduan ini?

Garis panduan ini terpakai kepada:

  • Semua sekolah rendah
  • Semua ssekolah menengah termasuk Kolej Vokasional dan Kolej Tingkatan Enam di bawah KPM dan Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM.
  • Sekolah yang berdaftar dengan agensi kerajaan yang lain, sekolah persendirian dan institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan merujuk garis panduan ini.

 

Garis panduan murid dan guru

Kehadiran

Kehadiran guru dan murid ke sekolah adalah seperti yang berikut:

  • Kehadiran guru tertakluk pada arahan perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Perdana Menteri dan KPM dari semasa ke semasa
  • Kehadiran murid ke sekolah secara berfasa dan dimulai dengan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), termasuk Murid
    Berkeperluan Khas (MBK). Tarikh pembukaan telah diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan.
  • Murid yang tidak termasuk seperti di atas tidak perlu hadir ke sekolah. Mereka kekal meneruskan PdP di rumah sehingga KPM mengeluarkan pemakluman lanjut.

 

Waktu persekolahan

  • Waktu persekolahan boleh dilaksanakan secara berperingkat setelah mendapat kelulusan pendaftar
    negeri.

 

Saringan

  • Sekolah perlu memastikan saringan demam serta gejala batuk, selesema, sakit tekak dan sesak nafas dilakukan terhadap murid, guru dan warga sekolah pada setiap hari di pintu masuk sekolah sebelum sesi persekolahan bermula.
  • Jika mempunyai suhu badan melebihi 37.5°C atau bergejala, mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah.
  • Pentadbir sekolah dibenarkan untuk melaksanakan saringan ini di dalam kawasan sekolah berhampiran dengan pintu masuk utama jika laluan masuk ke sekolah sempit atau berhampiran dengan jalan utama.
  • Hal ini adalah bagi mengelakkan kesesakan dan ketidakpatuhan kepada penjarakan sosial

 

Perhimpunan

  • Garis panduan pembukaan semula sekolah pasca PKPP juga melibatkan perhimpunan.
  • Perhimpunan sekolah dan aktiviti lain yang melibatkan murid, guru atau warga sekolah berkumpul secara beramai-ramai tidak dibenarkan.

 

Susunan meja dalam kelas

  • Sekolah perlu memastikan susunan meja bagi setiap kelas mesti berada dalam jarak satu (1) meter antara satu dengan yang lain.
  • Sekiranya bilangan murid melebihi kapasiti meja yang disediakan, lebihan murid perlu ditempatkan di kelas yang lain

 

Kantin

  • Sekolah perlu memastikan pengusaha kantin hanya menyediakan makanan berbungkus. Penggunaan kerusi, meja dan ruang makan di kantin tidak dibenarkan.

 

Makan waktu rehat

  • Sekolah perlu memastikan murid makan di dalam bilik PdP di bawah seliaan guru pada waktu rehat. Bilik PdP bermaksud bilik darjah dan bilik-bilik khas yang digunakan bagi tujuan PdP.

 

Sabun & Hand Sanitizer

  • Sekolah perlu menyediakan sabun di lokasi yang bersesuaian seperti kantin, tandas dan surau, manakala pensanitasi tangan (hand sanitizer) boleh disediakan di lokasi seperti bilik PdP, pejabat dan bilik guru

 

Garis panduan untuk ibu-bapa

Penglibatan ibu-bapa dalam perlaksanaan garis panduan pembukaan sekolah pasca PKP sangat di alu-alukan.

Ibu bapa/penjaga boleh dilibatkan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) bagi membantu pihak sekolah.

Ibu bapa boleh membantu dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman berkaitan penularan jangkitan COVID-19 dengan:

  • Memberi kesedaran kepada anak/anak jagaan berkaitan penjarakan sosial sebelum, semasa dan selepas menaiki kenderaan
  • Menasihati anak/anak jagaan supaya tidak berjabat tangan (bersalaman) atau bersentuhan antara satu sama lain sama ada guru, rakan-rakan atau orang sekeliling
  • Menasihati anak/anak jagaan supaya sentiasa mengamalkan kebersihan sebelum dan selepas makan
  • Menggalakkan ibu bapa/penjaga sendiri yang menghantar dan mengambil anak/anak jagaan
  • Menyarankan ibu bapa/penjaga menyediakan makanan dan minuman dari rumah untuk anak/anak jagaan bagi mengurangkan pergerakan dan kesesakan di kantin
  • Memastikan anak/anak jagaan mengambil sarapan yang sesuai sebelum hadir ke sekolah
  • Menasihati anak/anak jagaan agar tidak berkongsi makanan dan minuman dengan murid lain
  • Menjaga kebersihan dan keselamatan anak/anak jagaan sebelum dan selepas pulang dari sekolah dengan kerap membasuh tangan dan mandi.

Ibu-bapa juga digalakkan membantu pihak sekolah membuat tanda penjarakan sosial dan mengawal pergerakan murid semasa datang, rehat dan balik serta mengikut keperluan pihak sekolah.

Akhir sekali, ibu-bapa dialu-alukan untuk membantu pihak sekolah menyediakan pensanitasi tangan (hand sanitizer) dan alat pengimbas suhu badan untuk kegunaan pihak sekolah. Tiada paksaan. Hanya jika ibu-bapa mampu dan memang berkeperluan.

 

Garis panduan sekolah berasrama

Untuk pelajar sekolah di asrama:

  • Sekolah perlu memastikan yang engangkutan bas disediakan untuk murid yang berada di luar kawasan untuk kembali ke asrama bagi Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Sukan Malaysia (SSM), Sekolah Seni Malaysia (SSeM), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Sekolah Pendidikan Khas (SPK) kecuali ibu bapa/penjaga yang hendak menghantar anak mereka sendiri
  • Murid yang sihat sahaja yang dibenarkan kembali ke asrama. Sekiranya mereka tidak sihat, mereka hendaklah mendapatkan rawatan doktor dan disahkan sihat sebelum bersedia untuk balik ke asrama
  • Murid yang menduduki peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM digalakkan tinggal di asrama sekiranya kemudahan asrama mencukupi
  • Saringan kesihatan dilakukan semasa pendaftaran masuk ke asrama. Murid yang didapati mempunyai suhu badan 37.5°C dan ke atas atau bergejala perlu diasingkan di bilik kesihatan/sakit, diberikan pelitup muka untuk dipakai dan dihantar ke klinik kesihatan untuk rawatan atau dibawa pulang oleh ibu bapa/penjaga
  • Katil murid dijarakkan satu (1) meter antara satu sama lain. Bahagian bawah katil dua tingkat (double-decker) sahaja digunakan
  • Tanda penjarakan satu (1) meter disediakan untuk murid beratur bagi semua bilik khas yang bersesuaian (tandas, bilik air/mandi, bilik cuci, bilik gosok dan pantri
  • Jadual penggiliran waktu makan disediakan di dewan makan sekiranya perlu
  • Tempat beratur dan kedudukan tempat makan dewan makan diletakkan penandaan bagi penjarakan sosial (contoh: jarak satu (1) meter untuk beratur semasa mengambil makanan dan menghantar dulang makan di dewan makan asrama) dan tanda tempat duduk dengan penjarakan sosial semasa waktu makan
  • Susunan tempat duduk kelas persediaan (prep) ditandakan dengan jarak sekurang-kurangnya satu (1) meter
  • Alat pengimbas suhu badan perlu disediakan di asrama
  • Sekolah perlu memastikan murid yang makan di dewan makan asrama pada waktu rehat dalam makluman guru bertugas
  • Sekolah perlu memastikan bilik kesihatan/sakit di sekolah harian dan sekolah berasrama dijadikan sebagai bilik isolasi bagi murid yang bergejala sebelum mendapatkan rawatan.
  • Bilik ini perlu dibekalkan dengan pelitup muka serta sabun/pensanitasi tangan (hand sanitizer)

 

Akhir kalam

Diharapkan agar perkongsian mengenai garis panduan pembukaan sekolah ini dapat dijadikan rujukan dan sekaligus membantu semua ibu-bapa di luar sana untuk lebih memahami SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Semoga bermanfaat.


Leave a Comment