Dana Bank Islam Premier (Untuk Pelabur Sofistikated)

Dana Bank Islam Premier (Untuk Pelabur Sofistikated)

Kuala Lumpur, 23hb November 2020: BIMB Investment Management Berhad (“BIMB Investment”), anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad, hari ini mengumumkan pelancaran Dana Bank Islam Premier (‘BIPF’), sebuah dana borong aset campuran patuh Shariah yang mensasarkan pengagihan pendapatan secara tahunan.

Mengulas mengenai pelancaran BIPF, Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla berkata, “Kami berbesar hati dengan pelancaran Dana Bank Islam Premier yang menawarkan peluang pelaburan inovatif kepada para pelabur sofistikated. Kumpulan Bank Islam terus menawarkan solusi pengurusan dana dan kewangan yang menyeluruh dan komprehensif di 148 cawangannya di seluruh negara. Dana Bank Islam Premier menambahkan lagi penyelesaian pengurusan kewangan Bank Islam untuk pelanggan yang bernilai tinggi.”

Untuk pelabur sofistikated

Para pelabur sofistikated kini boleh meneroka peluang pelaburan baharu dengan BIPF yang berpotensi memberikan pulangan purata 5% setahun dalam masa lima tahun dengan pelaburan berisiko sederhana hingga tinggi. Ia dilengkapi dengan solusi pelaburan yang fleksibel tanpa tempoh penguncian dan tanpa caj pengeluaran. Dana ini ditawarkan dengan pelaburan permulaan minimum RM30,000 dan pelaburan tambahan minimum RM15,000 bermula 17 November 2020 di semua cawangan Bank Islam seluruh negara. Harga tawaran permulaan untuk BIPF adalah RM1.00 seunit dalam tempoh tawaran permulaan selama 45 hari, bermula dari 17 November 2020 hingga 1 Januari 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd Lutfi, berkata, “Kami tetap teguh bertahan ketika pasaran masih bergolak kesan daripada wabak coronavirus. Kami meneruskan usaha inovatif dalam bidang pelaburan Shariah dan ESG, menyediakan solusi untuk memenuhi keperluan semua pelabur yang merangkumi pelabur sofistikated, korporat dan institusi. Kami mengharapkan pasaran yang lebih baik apabila ekonomi pulih daripada pandemik Covid-19. Pelancaran Dana Bank Islam Premier adalah tepat pada masanya. Ia menawarkan pelabur sofistikated dengan portfolio pelaburan yang pelbagai yang bertujuan untuk menyediakan pulangan jangka sederhana hingga panjang melalui peningkatan modal dan pengagihan pendapatan. Oleh kerana kadar deposit 12 bulan kini sekitar 1.80% disebabkan oleh pemotongan OPR, Dana ini menawarkan alternatif kepada pelabur sofistikated yang berpotensi untuk meningkatkan pendapatan masa hadapan.


BIPF adalah dana borong aset campuran patuh Shariah dengan pelaburan dalam Skim Pelaburan Kolektif (CIS), akaun pelaburan Bank Islam, deposit Islam dan instrumen pasaran wang. Peruntukan aset dinamik dana bertujuan untuk menghasilkan potensi peningkatan modal serta pengagihan pendapatan tahunan. BIPF akan melabur maksimum 70% daripada Nilai Aset Bersih (NAB) Dana di CIS yang diuruskan oleh Pengurus, dan minimum 30% daripada NAB Dana akan dilaburkan ke dalam akaun pelaburan Bank Islam, deposit Islam dan instrumen pasaran wang.

BIMB Investment telah memenangi anugerah Pengurus Aset Islam dan Pengurus Dana Terbaik Malaysia selama empat tahun berturut-turut sejak 2017 dan Pulangan Penyelarasan Risiko Terbaik untuk Pelaburan Berprinsip ESG di Anugerah Alpha Southeast Asia 2019 dan 2020. BIMB Investment juga telah dinobatkan sebagai Pengurus Aset ESG Terbaik 2019 dan 2020, Dana Ekuiti ESG Terbaik 2020 (BIMB-ARABESQUE i Global Dividend Fund 1) dan Dana Sukuk ESG Terbaik 2020 (BIMB ESG Sukuk Fund) oleh Anugerah The Asset Triple A Islamic Finance.

BIMB Investment adalah Pengurus Aset Islam yang disokong oleh bank pertama di rantau ini yang menjadi penandatangan prinsip Pelaburan Bertanggungjawab yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPRI).

Leave a Comment