Checklist Pengantin Lelaki (Senarai Persiapan Untuk Pengantin Lelaki)

Checklist Pengantin Lelaki (Senarai Persiapan Lengkap)

Alam perkahwinan merupakan impian semua orang. Baik lelaki mahu pun perempuan, semua impikan untuk mendirikan rumah tangga dan melalui fasa perkahwinan. Meskipun begitu, persiapan memasuki alam perkahwinan itu bukannya sesuatu yang mudah. Selepas checklist pengantin perempuan, kami akan senaraikan checklist pengantin lelaki pula dan perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh bakal pengantin lelaki.

Checklist Pengantin Lelaki

Maklumat lanjut mengenai maksud pengantin, anda boleh rujuk pada pautan yang disediakan di laman web wikipedia.

1. Kursus Kahwin

Di Malaysia, semua bakal pengantin (beragama Islam khususnya) diwajibkan menghadiri kursus praperkahwinan dan mendapatkan sijil yang diiktiraf oleh jabatan agama Islam.

Kebiasaannya kursus praperkahwinan ini hanya mengambil masa dua hari sahaja dan tidak begitu lama. Pasangan boleh memilih untuk mengikuti kursus yang disediakan oleh jabatan  agama ataupun pihak swasta. Sudah tentunya kos dikenakan pihak swasta adalah lebih mahal.


Kursus ini tidak semestinya perlu dihadiri secara berpasangan, kerana tiada syarat mewajibkan peserta kursus datang dengan pasangan. Selain itu, tiada juga tempoh kesahan sijil. Ini bermakna tidak semestinya ketika benar-benar mahu berkahwin, baru hadir kursus ini, kerana kursus ini boleh disertai pada bila-bila masa.

Ketika ini, kursus praperkahwinan juga ada dianjurkan di universiti untuk para mahasiswa. Bukan bermakna mereka sudah mahu kahwin, tetapi sebagai persiapan awal dan yang lebih penting ilmu yang disampaikan.

Jadi, untuk golongan lelaki, pastikan anda telah menghadiri kursus praperkahwinan ini. Pergi awal-awal pun tidak mengapa, jangan sudah dekat tarikh bernikah baru mahu pergi kursus.

 

2. Ujian HIV

Checklist pengantin lelaki yang kedua adalah ujian HIV. Ini juga komponen yang penting sebelum pernikahan boleh dilangsungkan. Jika tidak buat ujian HIV ini, tidak boleh kahwin. Ingat itu!


Tidak susah, pergi sahaja ke klinik kerajaan dan kata mahu lakukan ujian HIV. Masa diambil juga tidak terlalu lama. Ujian ini sangat penting ya!

Ujian ini tidak perlu dilakukan terlalu awal kerana hanya sah selama 6 bulan sahaja. Jadi pastikan anda lakukan ujian ini mungkin sebulan sebelum perkahwinan juga memadai.

 

3. Urusan di Jabatan Agama

Ini paling penting. Kenapa di sinilah yang melibatkan urusan mendaftarkan perkahwinan pasangan.

Ada beberapa borang perlu diisi terutamanya borang nikah. Bagi pengantin lelaki, isi borang dan dapatkan pengesahan sama ada daripada ketua kampung atau pihak yang sepatutnya dan dibenarkan.


Bergantung kepada negeri, colan pengantin mungkin akan disoal oleh pendaftar perkahwinan. Jadi sebagai bakal suami, anda perlu bersedia!

 

4. Sediakan Mas Kahwin

Checklist pengantin lelaki yang keempat adalah penyediaan belanja mas kahwin. Ini sangat sangat penting. Masa akad nikah juga ada menyebut mengenai mas kahwin. Adalah wajib bagi pengantin lelaki memberi mas kahwin kepada pasangannya.

Jumlah mas kahwin adalah berbeza mengikut negeri. Anda boleh merujuk dalam laman web jabatan agama untuk menyemak nilai mas kahwin di negeri pernikahan dilangsungkan.

Kami ada sediakan artikel tentang cara penyediaan dan kaedah untuk mengumpul duit kahwin yang efektif, sekiranya anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut anda boleh rujuk pada artikel ini.

 

5. Hantaran

Ini lebih kepada adat. Tetapi kebiasaannya pengantin lelaki akan memberi sejumlah dulang hantaran dan akan dibalas oleh pengantin perempuan. Berapa jumlah hantaran? Bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak.

 

6. Wang hantaran

Checklist pengantin lelaki yang berikutnya adalah wang hantaran. Okay. Ini boleh dianggap sebagai komponen paling penting untuk pihak lelaki. Menyediakan wang hantaran untuk diserahkan kepada pengantin perempuan.

Isu wang hantaran ini bukan main-main. Banyak berlaku perkahwinan dibatalkan pada masa-masa akhir kerana isu wang hantaran. Sebab apa? Sebab ada kalanya pihak lelaki tidak dapat memenuhi tuntutan jumlah wang hantaran.

Hari ini wang hantaran antara RM15,000 hingga RM20,000 itu sudah menjadi sesuatu yang normal. Sama ada setuju atau tidak, nilai wang hantaran yang besar ini memberi tekanan yang tinggi kepada pihak lelaki.

Oleh sebab itu, bincang elok-elok dengan pihak pengantin perempuan mengenai jumlah wang hantaran. Apabila sudah bersetuju, wang hantaran ini merupakan checklist pertama dalam senarai pihak lelaki yang perlu dilengkapkan. Selagi tidak cukup, jangan kahwin dulu.

 

7. Persiapan perkahwinan

Checklist pengantin lelaki yang terakhir adalah persiapan diri sebelum perkahwinan. Ini meliputi persiapan majlis, pakaian pengantin dan sebagainya. Bagi pihak lelaki ini perkara yang mudah dan tidak terlalu kompleks.

Seperti baju kahwin, Kebiasaannya pihak lelaki tidak terlalu cerewet, hanya mengikut tema warna yang telah ditetapkan sahaja.

Jangan lupa untuk pilih pengapit. Nampak remeh tapi pengapit ini adalah untuk menyerikan majlis. Di negeri seperti Johor, pengapit ini memainkan peranan besar apabila berhadapan dengan ‘Tol’.

Selain itu, kad kahwin juga perlu diberikan perhatian. Apabila sudah ada tarikh majlis serta lokasi, sudah boleh tempah kad kahwin dan diedarkan.

Jadi, begitulah senarai perkara yang perlu disemak terlebih dahulu oleh pihak lelaki sebelum majlis perkahwinan. Ini hanyalah antara senarai, tetapi merupakan elemen yang penting. Banyak lagi perkara yang perlu disemak, tetapi tidak sepenting di dalam senarai di atas.

Bagi pihak lelaki, yang paling penting ialah wang hantaran. Soal lain itu tidaklah terlalu memeningkan kepala. Tetapi soal wang hantaran ini serius. Pastikan cukup!

 

Akhir kalam

Diharapkan perkongsian ini dapat memudahkan urusan anda untuk penyediaan persiapan sebelum kahwin anda.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment