Cara Merawat Haid Tidak Teratur (Period Lambat, Tak Normal)

Cara Merawat Haid Tidak Teratur (Period Lambat, Tak Normal)

Sebagai seorang wanita, sudah tentu anda pernah mendengar mengenai haid tidak teratur. Tetapi adakah anda faham apa yang dimaksudkan dengan haid tidak teratur itu? Bagaimana pula dengan punca penyebab berlakunya keadaan tersebut? Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai masalah kitaran haid yang tidak teratur ini, pastikan anda teruskan membaca perkongsian artikel dari kami. Malahan, kami juga akan kongsikan dengan anda cara merawat haid tidak teratur yang boleh membantu permasalahan anda.

Cara merawat haid tidak teratur

Pada dasarnya masalah period yang tidak teratur ini bukan satu keadaan yang perlu dibimbangkan. Selalunya kitaran haid akan kembali pulih pada tempoh kedatangan haid yang seterusnya. Ini bermakna tiada rawatan perubatan yang diperlukan.

Kepada para wanita yang mengalami masalah senggugut yang teruk, kami juga ada sediakan artikel tentang cara mengatasi masalah senggugut anda.

Tetapi bagi sesetengah individu yang mengalami keadaan ini, mungkin terdapat rawatan yang perlu dilakukan. Walaupun begitu, ia adalah bergantung kepada punca yang mendasari dan tahap kerumitan yang dilalui disebabkan haid tidak teratur ini, berikut adalah beberapa cara merawat haid tidak teratur yang boleh anda amalkan.


 

  1. Rehat yang mencukupi

Fikiran yang tertekan serta keletihan fizikal boleh menjejaskan kitaran haid anda dan menyebabkan ia dalam lewat dari tempoh yang sepatutnya. Tekanan boleh mengakibatkan anda mungkin akan mengalami period dua kali dalam sebulan atau langsung tidak mengalaminya.

Cara paling berkesan anda mengatasi masalah ini adalah dengan berehat. Jangan mengabaikan rehat yang secukupnya untuk badan anda kerana berasakan ia tidak menyebabkan wujudnya sebarang masalah.

Tidur yang mencukupi pastinya akan dapat membantu badan dan fikiran untuk lebih tenang. Dalam masa yang sama tindakan ini sudah tentu dapat membantu mengawal fungsi hormon berkaitan menstruasi.

 


  1. Yoga

Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam The Journal of Alternative and Complementary Medicine menyatakan bahawa yoga merupakan salah satu cara efektif yang dapat membantu melancarkan haid yang tidak teratur. Malahan, melakukan yoga juga dipercayai dapat membantu menghilangkan kesakitan akibat senggugut ketika period.

Selain itu, yoga dipercayai dapat membantu mengawal kadar hormon yang boleh menjadi punca kepada masalah haid tidak teratur. Anda dicadangkan untuk melakukan yoga selama 30 hingga 40 minit sehari untuk lima kali seminggu selama enam bulan.

 

  1. Berat badan

Anda berada dalam kategori obesiti atau terlalu kurus? Mempunyai berat yang terlalu kurang atau terlalu berat boleh mengganggu kitaran haid. Jadi menjaga berat badan agar berada pada tahap yang seimbang adalah antara cara melancarkan haid.

Sebaiknya mulakan menjaga aspek pemakanan anda, lakukan senaman secara berkala dan amalkan gaya hidup yang sihat sudah tentu dapat membantu mengatasi masalah haid yang tidak teratur ini, okay?


 

  1. Menukar alat kontraseptif

Jika anda memakai sebarang alat kawalan kehamilan.dan menyebabkan haid anda kerap tidak teratur, anda dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan dan rundingan daripada doktor berkaitan keadaan yang dialami ini.

Antara pilihan rawatan yang mungkin diberikan kepada anda adalah untuk menukar alat kontraspetif yang digunakan. Kaedah ini mungkin memerlukan percubaan lebih daripada sekali bagi mendapatkan kaedah kawalan kontraseptif yang berkesan dan sesuai dengan anda.

 

  1. Pengambilan vitamin D

Fungsi vitamin D adalah untuk membantu penyerapan kalsium dalam usus yang baik untuk kesihatan tulang. Di samping itu, vitamin D juga dapat membantu mengawal ovulasi dan menjadikannya lebih teratur.

Berdasarkan penyelidikan yang diterbitkan dalam Journal of Reproductive Biology and Endocrinology ada menyebut bahawa terdapat hubung kait antara kekurangan vitamin D dan masalah haid yang tidak teratur.

Cara paling mudah mendapatkan vitamin D adalah daripada cahaya matahari di waktu pagi, antara pukul 7 hingga 9 pagi. Tetapi pastikan anda tidak mendedahkan diri kepada sinaran matahari secara berlebihan, nanti masalah lain pula yang akan anda hadapi.

Selain itu, anda boleh memilih untuk mengambil suplemen vitamin D untuk membantu mencukupkan keperluan vitamin D anda. Tetapi dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang suplemen, okay?

 

  1. Merawat masalah kesihatan

Seperti yang dinyatakan tadi, masalah haid tidak teratur boleh diatasi bergantung kepada keadaan yang menjadi punca berlakunya masalah ini. Jadi sekiranya masalah period yang tidak teratur adalah disebabkan masalah kesihatan, cara terbaik anda untuk mengubati penyakit yang dihadapi untuk melancarkan haid.

 

Memahami haid tidak teratur

Masalah haid atau lebih kerap disebut period yang tidak teratur ini adalah apabila kitaran haid yang berlaku sentiasa berubah dan tidak tetap, sama ada kedatangan haid anda adalah lebih cepat atau lebih lambat daripada tempoh biasa haid anda hadir. Umumnya, purata kitaran haid, iaitu tempoh haid pertama bulan ini hingga tempoh haid pertama bulan hadapan yang normal bagi seorang individu wanita adalah selama 28 hari. Tetapi setiap individu akan mengalami tempoh yang berbeza.

Jadi, anda mungkin mempunyai kitaran haid yang lebih singkat ataupun kitaran haid yang lebih lama, dan kedua-dua keadaan ini masih normal. Tetapi anda dikatakan mengalami haid tidak teratur jika tempoh kitaran yang anda alami adalah melebihi 35 hari mahupun kitarannya tidak menentu.

Oligomenorrhea, merupakan nama lain bagi masalah kitaran haid tidak teratur ini adalah apabila jumlah bilangan haid dalam setahun adalah kurang daripada enam hingga lapan kali setahun.

Selalunya, individu yang mengalami masalah ini menjalani kaedah kontrasepsi iaitu salah satu cara kawalan kehamilan, mempunyai masalah ketidakseimbangan hormon atau berdepan dengan perubahan hormon disebabkan proses menopaus.

 

Punca haid tidak teratur

Terdapat beberapa keadaan yang boleh menjadi punca penyebab anda mengalami haid yang tidak teratur, seperti:

 

  • Tekanan kehidupan

Tekanan yang berlebihan disebabkan rutin kehidupan, kenaikan atau penurunan berat badan, pengambilan diet tertentu, perubahan rutin senaman, jetlag kerana perubahan tempat, penyakit atau sebarang gangguan lain berkaitan rutin harian juga boleh menjejaskan kitaran haid. Ketidakseimbangan hormon juga boleh mengganggu fungsi haid anda.

 

  • Kaedah kontraseptif

Anda mungkin akan melihat tompokan antara tempoh haid jika anda mengambil pil kawalan kehamilan atau menggunakan sistem intrauterin (IUS). walaupun alat intrauterin tidak mungkin akan menyebabkan haid yang tidak teratur, individu yang menggunakannya melaporkan akan mengalami tempoh haid yang banyak dan menyakitkan. Pendarahan ringan dan untuk tempoh yang singkat adalah perkara biasa sekiranya anda baru mula mengambil pil. Ia selalunya akan kembali normal selepas beberapa bulan.

 

  • Sindrom polisistik ovari

Ia adalah keadaan sista kecil dipenuhi cecair yang berkembang di ovari. Simptom yang paling biasa dalam sindrom polisistik ovari (polycystic ovary syndrome) ialah keabnormalan haid seperti tempoh haid yang tidak teratur, haid yang sekejap dan tiada langsung haid.

 

  • Masalah ginekologi

Kehamilan mengejut, keguguran atau masalah lain yang berkaitan dengan rahim atau ovari boleh menyebabkan pendarahan pada faraj. Jika anda mempunyai tempoh haid yang tidak teratur, doktor anda boleh merujuk anda kepada pakar sakit puan untuk penilaian lanjut dan rawatan.

 

  • Penyakit keradangan pelvik

Penyakit ini berlaku disebabkan jangkitan bakteria yang menjejaskan sistem pembiakan wanita juga menjadi antara salah satu punca penyebab haid tidak teratur. Bakteria boleh memasuki faraj melalui hubungan seks dan kemudian merebak ke rahim dan saluran kelamin. Bakteria juga boleh memasuki saluran pembiakan melalui prosedur ginekologi atau ketika proses melahirkan anak, keguguran atau proses pengguguran.

 

  • Gangguan tiroid

Walaupun ia jarang berlaku, individu yang mengalami gangguan tiroid berisiko untuk mengalami haid yang tidak teratur. Tiroid, yang berada di leher, akan menghasilkan hormon metabolik. Anda mungkin perlu mengambil ujian darah untuk memeriksa kadar hormon tiroid di dalam badan anda.

 

Faktor lain yang boleh mendasari masalah haid tidak teratur adalah:

  • Menyusukan bayi
  • Penyalahgunaan dadah ataupun sebarang ubatan
  • Imperforate hymen dan sindrom Asherman
  • Menjalani rawatan kemoterapi dan terapi radiasi
  • Sindrom kerengsaan usus, batuk kering, penyakit hati dan kencing manis

 

Akhir kalam

Jika anda mengalami masalah haid yang tidak teratur dan ia mengganggu kehidupan harian anda, mungkin sudah masanya untuk anda mencuba kaedah yang dinyatakan di atas bagi membantu melancarkan kitaran haid anda. Sekiranya keadaan tidak berubah dan mungkin semakin serius, dapatkanlah pemeriksaan dan rundingan daripada doktor.

Leave a Comment