5 Cara Mengeratkan Hubungan Kekeluargaan (Pasangan Suami Isteri)

Untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan bagi pasangan suami isteri yang sudah lama berkahwin, bukanlah sesuatu yang mudah. Selalunya, perkahwinan adalah suatu pengalaman yang amat menggembirakan bagi semua orang yang baru sahaja mendirikan rumah tangga. Ini kerana, semua pasangan bercinta menginginkan pengakhiran yang bahagia bersama insan tersayang.

Walau bagaimanapun, hubungan yang bahagia tidak akan terjalin tanpa kerjasama daripada kedua belah pihak. Baik suami atau isteri, baru atau sudah lama berkahwin, haruslah sentiasa memberi dan menerima dalam setiap perkara untuk memastikan kebahagiaan yang berpanjangan.

Cara mengeratkan hubungan kekeluargaan

Ini adalah 5 tips untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan, terutamanya di antara suami isteri.

1. Buat kerja rumah sama-sama

Zaman kini, tugas kerja rumah adalah sangat utama dalam mengeratkan hubungan antara pasangan. Sekiranya tugas-tugas kerja rumah dapat dibahagikan dengan baik kepada suami dan isteri, semua kerja rumah dapat dilakukan dengan lebih teratur, cepat, dan mudah.

Antara kerja rumah yang dapat dilakukan bersama-sama pasangan adalah seperti mengemas rumah, memasak, mencuci pinggan, membasuh tandas, dan seumpamanya. Salah satu kebaikan daripada membuat kerja rumah bersama suami atau isteri ialah dapat mewujudkan rasa lebih bertanggungjawab terhadap pasangan. Suami yang baik, pasti tidak akan membiarkan isterinya buat kerja bersendirian.

Jangan sampai ada yang berseloroh; “Buat anak pandai, kemas rumah tak pandai!”.

 

2. “Me Time

Me Time” ialah penjelasan ringkas untuk memberikan ruang dan masa kepada suami atau isteri yang mahu bersendiri pada waktu yang singkat. Ia bukanlah satu perkara yang buruk untuk dilakukan kepada pasangan anda. Ini kerana, ada kalanya terdapat suami atau isteri yang terlalu sibuk bekerja dan memerlukan rehat yang cukup.

Jadi, situasi seperti ini dapat membantu pasangan menikmati masa rehat itu tanpa gangguan untuk seketika. Pemberian ruang dan masa dapat menjadikan suami atau isteri itu lebih memahami dan menghormati antara satu sama lain. Namun begitu, “Me Time” ini haruslah dimanfaatkan sebaiknya. Jangan menjadikan ia salah satu alasan untuk lepas tangan daripada tanggungjawab masing-masing.

 

3. Berbulan madu macam pengantin baru

Masa untuk berbulan madu ini tidak dihadkan kepada mana-mana pasangan sama ada bagi yang baru atau sudah lama berkahwin. Oleh itu, bawalah suami atau isteri anda untuk berbulan madu walaupun dalam waktu yang singkat. Berbulan madu juga tidak memerlukan tempat yang terlalu jauh asalkan itu adalah tempat yang disukai oleh suami dan isteri. Jadikan bulan madu ini ialah salah satu kebiasaan agar hubungan anda terasa seperti kali pertama jatuh cinta. Ia dapat menyemarakkan lagi hubungan anda.

 

4. Sambut birthday bersama-sama

Terdapat banyak hari ulang tahun yang dapat kita sambut bersama suami atau isteri. Bagi pasangan yang sudah berkahwin, hari ulang tahun perkahwinan dan ulang tahun kelahiran suami atau isteri adalah satu tarikh yang penting untuk diingati.

Hal ini dapat memberikan kesan yang positif dalam hubungan suami isteri. Jika susah untuk ingat, tandakan pada kalendar atau letakkan nota dalam telefon pintar anda pada tarikh-tarikh ulang tahun tersebut. Mungkin nampak remeh, tetapi tips ini dapat membuat pasangan anda semakin jatuh hati kerana sentiasa membuat si dia rasa dihargai.

 

5. Sentiasa meluahkan apa yang terbuku dalam hati

Sesi ini boleh dikategorikan sebagai masa untuk berbincang mengenai segala perkara yang terjadi selama tempoh perkahwinan. Di sini, suami atau isteri boleh menyatakan perasaan dengan lebih mendalam dan jelas sekiranya terdapat perkara yang tidak sepatutnya berlaku di dalam rumah tangga anda.

Ia juga adalah salah satu terapi kepada suami isteri untuk menyelesaikan sesuatu isu atau memberi pendapat masing-masing agar mencapai keputusan yang menyenangkan kedua belah pihak. Elakkan memendam perasaan anda. Luah dan kongsikan segala kesedihan dan kegembiraan anda bersama pasangan, agar pasangan anda lebih mudah memahami situasi dan emosi anda. Ia dapat membantu mengurangkan tekanan dan menjadikan hubungan suami isteri yang lebih sihat.

 

Akhir kalam

Perkahwinan adalah satu ikatan yang suci. Dalam setiap rumah tangga juga ada pasang dan surutnya. Namun, pupuklah perasaan untuk mencintai suami atau isteri anda setiap hari seperti tiada lagi hari esok. Berusahalah untuk mencapai kebahagiaan bersama-sama di dunia sehingga membawa ke syurga.

Suami, janganlah malu dengan isteri. Cubalah jadi suami yang romantik.

Semoga perkongsian cara mengeratkan hubungan kekeluargaan ini dapat memberi manfaat kepada suami isteri yang memerlukannya.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment