Cara Jumper Bateri Kereta Dengan Betul (Mudah & Ringkas)


Pernah tak berdepan dengan situasi tiba-tiba enjin kereta tidak boleh dihidupkan? Alamak! Sudahlah terlewat bangun pagi, kereta buat hal tidak mahu hidup. Makin gelabah jadinya, bukan? Jumper merupakan antara satu cara mudah untuk menghidupkan enjin kereta tetapi adakah anda tahu cara jumper bateri kereta?

Buat anda yang ingin belajar tentang kereta dan segala komponen tentang kereta anda boleh membaca laman wikipedia ini sebagai panduan untuk anda.

Cara jumper bateri kereta

Sebelum kami huraikan kepada anda mengenai cara jumper bateri kereta, adakah anda tahu bahawa terdapat dua jenis bateri kereta, iaitu bateri kereta kering dan bateri kereta basah. Apakah perbezaan kedua-dua jenis bateri ini?

Jadi anda sudah tahu jenis bateri kereta yang ada dan apakah bateri yang sesuai untuk anda. Sekarang kita boleh berbalik semula kepada tujuan utama anda memilih untuk membaca artikel ini, iaitu untuk mengetahui cara jumper bateri kereta, bukan?

Untuk melakukan jumper bateri kereta, ia memerlukan beberapa keadaan seperti:

  • Bateri kereta mati atau kong (istilah yang serik dirujuk apabila enjin kereta tidak dapat dihidupkan disebabkan keadaan bateri)
  • Kabel jumper
  • Kereta dengan bateri yang masih hidup

Berikut adalah langkah atau cara jumper bateri kereta yang perlu dilakukan:

  1. Kedudukan kereta mestilah dirapatkan supaya kabel ‘jumper‟ boleh disambungkan, tetapi pastikan kereta tidak menyentuh satu sama lain. Ia untuk mengelakkan sebarang masalah yang tidak diingini.
  2. Untuk kereta yang membantu, ia mestilah mempunyai bateri 12-volt dan keupayaan (Ah) bateri tidak boleh lebih rendah berbanding bateri yang ingin dibantu. Jika tidak, ia mungkin akan menyebabkan kerosakan litar pintas kepada kedua-dua kereta.
  3. Kedua-dua kereta mestilah berada dalam keadaan “P” (PARK) bagi kereta dengan transmisi automatik dan “N” (NEUTRAL) bagi kereta transmisi manual.
  4. Mulakan cara jumper bateri kereta dengan meletakkan kabel jumper kabel pada bateri kereta yang ingin dibantu terlebih dahulu. Pastikan sambungan dilakukan pada terminal positif (+) bateri.
  5. Kemudian sambungan penghujung kabel jumper tersebut kepada terminal positif (+) bateri kereta yang ingin membantu. Jadi, kini kedua-dua bateri pada kedua-dua kereta, yang ingin membantu dan yang perlu dibantu sudah bersambung pada terminal positif.
  6. Untuk kabel jumper yang lagi satu, anda sambungkan kepada terminal negatif (-) bateri kereta yang ingin membantu terlebih dahulu. Dan sudah tentu penghujung kabel jumper ini perlu diletakkan kepada terminal negatif (-) bateri kereta yang memerlukan bantuan.
  7. Apabila sambungan sudah selesai dilakukan, sudah tiba masanya untuk mengecas bateri kereta yang mati tersebut. Mulakan dengan menghidupkan enjin kereta bantuan terlebih dahulu. Biarkan enjin berjalan selama 3-5 minit untuk pengecasan berlaku pada bateri yang mati.
  8. Selepas beberapa minit pengecasan dilakukan, bateri kereta yang mati tadi sudah boleh dihidupkan enjin.
  9. Anda boleh cuba mematikan dan menghidupkan kembali enjin. Jika ia tidak dapat menghidupkan enjin kereta, ini bermakna sudah tiba masanya bateri kereta anda ditukar.

 

Bateri kereta basah

Bateri kereta basah ataupun sel basah adalah bateri yang menggunakan air bateri. Lazimnya, jangka hayat bateri kereta basah ini bergantung kepada kekerapan anda menggunakan kereta anda.

Bateri kereta jenis ini sangat memerlukan penjagaan yang rapi. Bateri basah adalah jenis bateri kereta yang memerlukan penyelenggaraan berkala, iaitu penambahan air suling (distilled water) ke dalam bateri.

Air bateri perlu sentiasa dipastikan berada di tahap yang ditetapkan bagi mengelakkan kerosakan. Kekerapan penambahan air suling bergantung pada cuaca dan penggunaan, di antara empat hingga enam minggu sekali.

Jika anda kerap menggunakan kereta anda untuk urusan harian, adalah disarankan supaya anda memeriksa paras air bateri sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk mengelakkan bateri kereta anda kering. Jika anda jarang menggunakan kereta, periksalah setiap dua atau tiga minggu sekali.

Air bateri yang ditambah juga perlu menepati paras yang telah dicatat pada badan bateri kereta tersebut. Air bateri tidak boleh kurang dari paras yang telah ditetapkan ataupun melebihi dari paras tersebut.

 

Apakah kelebihan bateri basah?

Kelebihan bateri basah adalah ia mempunyai jangka hayat yang lebih panjang, jika diselenggara dan dijaga dengan baik. Malahan harga jualannya juga adalah lebih murah.

 

Bagaimana pula dengan kekurangan bateri basah?

Kekurangannya adalah ia memerlukan penyelenggaraan secara berkala bagi pemilik kereta, iaitu sekurang-kurangnya empat hingga enam minggu sekali. Selain daripada itu, bateri basah juga adalah lebih berat.

 

Bateri kereta kering 

Bateri kereta kering ataupun sel kering lebih mudah untuk dijaga kerana ia tidak memerlukan air bateri. Anda tidak perlu risau untuk menambah air bateri kerana memang tiada ruang untuk mengisi air bateri tersebut.

Bateri kering, juga dikenali sebagai bateri ‘Maintenance Free’ (MF) adalah sejenis bateri kereta yang tidak memerlukan sebarang penyelenggaraan. Anda hanya perlu memastikan sambungan terminal disambung dengan baik, dan bateri tersebut boleh digunakan sehingga tamat hayatnya.

Anda hanya perlu tukar kepada bateri yang baharu apabila jangka hayat bateri kereta kering ini habis. Jangka hayat bateri kereta kering ini adalah minimum setahun dan paling lama adalah dua tahun atau lebih bergantung kepada penggunaan kereta dan juga penggunaan peralatan elektronik di dalam kereta. Apa yang anda perlu risau adalah harga bateri kereta kering ini kerana harganya adalah lebih mahal dari bateri kereta basah.

 

Apakah pula kelebihan bateri kering?

Kelebihan bateri ini sudah tentulah ia tidak memerlukan penyelenggaraan atau penjagaan. Ia pastinya sesuai untuk mereka yang sibuk dengan tugasan harian dan tidak mempunyai masa untuk memeriksa bateri secara berkala. Bateri ini juga lebih ringan berbanding bateri basah.

 

Adakah terdapat kekurangan bagi penggunaan bateri kering ini?

Sudah tentulah ada. Kekurangannya adalah ia lebih mahal harganya berbanding bateri basah. Purata perbezaan harganya berbanding bateri basah adalah antara RM30 hingga RM50. Selain itu, jangka hayat penggunaan bateri kering juga adalah lebih pendek, iaitu antara setahun hingga satu setengah tahun.

 

Bateri basah vs bateri kering

Jika anda ingin membeli bateri, sudah tentu anda akan bertanyakan kepada penjual bateri, yang mana satukah yang lebih baik, betul? Ya, mereka boleh memberikan pendapat mereka, sama bateri basah atau kering yang lebih baik.

Mungkin bateri kereta kering lebih baik dari bateri kereta basah kerana tidak memerlukan penjagaan. Mungkin juga bateri kereta basah adalah lebih baik dari bateri kereta kering kerana boleh tahan lebih lama.

Walau bagaimanapun, sama ada bateri basah atau kering, ia adalah bergantung kepada pengguna atau pemandu kereta tersebut. Jika anda seorang yang rajin untuk memeriksa keadaan paras air bateri, maka bateri basah boleh dijadikan pilihan anda

Sebaliknya, sekiranya anda seorang yang kerap menggunakan kereta untuk berjalan jauh, ulang alik Utara-Selatan tanah air dan seorang yang pelupa (atau lebih tepat malas) untuk memeriksa keadaan paras air bateri, sudah tentu anda dinasihatkan untuk menggunakan bateri kering.

Untuk anda yang memandu kereta manual tetapi anda masih konfius dan tidak tahu cara memandu kereta manual yang sebenar, anda boleh membaca artikel ini untuk membantu anda sedikit sebanyak faham tentang cara pemanduan kereta manual.

 

Akhir kalam

Cara jumper bateri kereta bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan, sama ada oleh wanita atau lelaki. Cuma anda perlu memastikan anda mempunyai ‘bahan utama’, iaitu kabel jumper.

Tanpa kabel jumper, anda tidak akan dapat melakukan jumper bateri kereta.Jadi pastikan anda menyediakan kabel bateri di dalam bonet kereta anda, ini kerana anda tidak akan tahu bila masanya anda perlu mempratikkan pengetahuan anda tentang cara jumper bateri kereta.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment